animasi

as salam

Jejalan sambil follow...tq sume.. =)

pelawat yang dihormati

Khamis, 6 Januari 2011

TANGGUNGJAWAB ISTERI TERHADAP SUAMI



Kalau suami mempunyai hak dan kewajipan terhadap isterinya, maka isteri juga mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suaminya.  Sesungguhnya tugas seorang  isteri terhadap suaminya adalah sangat penting dan mesti dipatuhi sehingga pernah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Jikalau sekiranya ada perintah dari Allah SWT untuk menyuruh manusia sujud kepada manusia nescaya aku suruh isteri sujud kepada suaminya.”
(Hadis Riwayat At-Turmizi)                   
Antara tugas isteri ialah :
1.   Jujur dan taat setia kepada suaminya dalam sebarang hal dan pekerjaan yang tidak berlawanan dengan hukum Islam.
2.   Menyampaikan hajat suami kepadanya, iaitu perkara-perkara yang dibolehkan oleh Islam termasuk perkara yang mengenai hubungan kelamin, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.
“Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur sedangkan isterinya menolak (tanpa uzur) sehinggalah suami itu tidur dalam keadaan marah dan kesal, malaikat akan melaknatkannya (isteri) hingga ke subuh.”
(Hadis Riwayat Abdul Rahman Bin ‘Auf)
3.   Isteri mestilah berkelakuan sopan terhadap suaminya, wajib menjauhkan kata-kata  yang menunjukkan kedurhakaan atau menyakitkan hati suami seperti memaki, mengomil (berleter) atau kata-kata yang tidak disukai oleh agama atau adat.
4.   Janganlah memberati atau memaksa suami dalam soal nafkah seperti pakaian, wang ringgit dan tempat tinggal yang lebih dari ukuran yang wajib baginya kerana ia akan mendorong suaminya ke lembah curang seperti rasuah, curi,  rompak dan sebagainya.  Rasulullah  SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Perempuan yang datang kepada suaminya dengan muka masam dan mengomil meminta belanka (lebih) atau mengadakannya maka tidaklah diterima Allah amalan perempuan seperti itu.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abi Hurairah)
5.   Minta keizinian suami apabila hendak keluar dari rumah walaupun untuk menziarahi keluarga, ibu-bapa atau kerana menuntut ilmu.  Sabda Rasulullah SAW maksudnya:
“Perempuan-perempuan yang keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya adalah ia di dalam kemurkaan SWT sehinggalah ia balik ke rumahnya atas suaminya redha akan dia.”
6.   Hendaklah memelihara harta benda dan rumahtangga supaya bersih, rapi dan kemas serta isteri tidak boleh memberikan sesuatu harta benda suaminya kepada orang lain tanpa izinnya.
7.   Segera meminta maaf apabila  terlanjur mendurhaka kepada suami sepertimana yang dipraktikkan oleh Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut sepotong hadis yang bermaksud:
Fatimah telah datang berjumpa ayahandanya Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dan mukanya berubah tanda penyesalan lalu bertanya Rasulullah SAW: “Kenapa wahai anakku, Fatimah?” Fatimah menjawab, “Ayahanda, kelmarin anakanda dengan Ali telah berseloroh (bergurau) sehingga  terbit kata-kata anakanda yang menyebabkan Ali marah anakanda, anakanda menyesal kerana sebab mulut anakanda   itu Ali menjadi marah, lantas anakanda meminta maaf darinya dan mengeliling dia sebanyak tujuh puluh dua kali sehinggalah ia memaafkan dan Ali pun tertawa serta redha”.  Sabda Rasulullah kepada Fatimah,”Demi diriku yang telah diangkat oleh Allah sebagai Nabi, sesungguhnya engkau sekiranya meninggal dunia sebelum Ali redha atas kesalahan itu takkan ku sembahyang jenazah engkau”.
8.   Jikalau suami tidak berharta dan isteri dari anak orang kaya janganlah isteri menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan  harta yang diberikan bapanya sambil mengecilkan  pemberian dari suaminya, serta berkata,”Apalah yang awak  boleh berikan kepadaku dan tengok ini, itu dan sebagainya semuanya bapa berikan kepadaku”, isteri yang bersikap demikian terhadap suaminya.  Pernah Rasulullah  SAW bersabda yang bermaksud :
“Allah akan menghapuskan amalan perempuan itu sekalipun banyak amalan kebajikannya.”
9.   Hendaklah isteri memakai pakaian yang cantik dan bersih di hadapan  suaminya.  Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perempuan-perempuan yang menghias diri kepada yang bukan suami atau muhrimnya adalah seperti  lampu yang tidak bercahaya di akhirat kelak.”
10. Isteri wajib memelihara perasaan dan peraturan suaminya, isteri tidak boleh membenarkan masuk seorang lelaki atau perempuan yang tidak disukai ke dalam rumah.  Jika isteri hendak berpuasa sunat ketika suaminya berada di rumah hendaklah meminta izin suami terlebih dahulu dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
11. Isteri hendaklah sentiasa memberi layanan baik kepada suaminya.  Allah memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda kepadanya sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis-hadisnya antara lain bermaksud :
a)      “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari  berpuasa setahun”.
b)      “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya  lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”
c)      “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.
d)      “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.
e)      “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.
f)       “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.
g)      “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)
h)      “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada  bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan  taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk  syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.
(Hadis Riwayat Anas Bin Malik)
Demikianlah hak dan tanggungjawab  isteri terhadap suami dan rumahtangga serta ganjaran pahala dari Allah SWT kepada seorang  isteri yang solehah.  Apabila suami dan isteri melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing maka lahirlah rahmat dan kasih sayang yang akan menghasilkan kebahagiaan bersama seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT di dalam firmanNya, maksudnya:
“Dan di antara keterangan tanda-tanda Allah bahawa ia menjadikan isteri dari kamu untuk kamu tinggal bersama dalam keadaan kasih sayang, cinta mencintai serta mendapat kerahmatan, sesungguhnya tentang yang demikian itu adalah tanda kebesaran Allah SWT bagi kamu yang mahu berfikir.''

2 ulasan:

  1. Baik utk kaum hawa...berbahagialah bagi meraka yang tau menjaga kepentingan dan tanggungjawap sebagai seorang yang bergelar isteri.

    BalasPadam
  2. insyaallah..moga2 bole jadikan pendorong kepada kebaikan...isteri ni sng masuk syurga tapi isteri jgk senang ke neraka...

    BalasPadam